Taubat harus dilakukan dari segala dosa, baik besar mahupun kecil. Wajib pula bagi orang yang hendak bertaubat untuk mengetahui dari dosa apakah dia bertaubat.
Al-Ghazali r.h berkata, "Ketahuilah bahawa sesungguhnya taubat itu bererti meninggalkan dosa, dan tidak mungkin seseorang meninggalkan suatu dosa kecuali apabila dia telah mengenalinya."
Apabila taubat merupakan suatu kewajipan, maka sesuatu yang dapat menghantarkan seseorang kepada taubat itu pun menjadi wajib. Sedang setiap perbuatan dosa merupakan pelanggaran terhadap hukum-hukum Allah SWT, baik berupa perintah mahupun larangan.
Adapun jenis-jenis dosa tersebut semuanya berjumlah dua belas, semuanya termaktub di dalam Al-Quran dan semuanya merupakan perbuatan yang haram untuk dilakukan.
Di antara jenis-jenis dosa tersebut adalah:
- Perbuatan kufur atau ingkar kepada Allah
- Syirik atau menyekutukan Allah
- Kemunafikan
- Kefasikan
- Kederhakaan
- Perbuatan dosa
- Kezaliman
- Kekejian
- Kemungkaran
- Penganiayaan
- Mengucapkan perkataan terhadap Allah tanpa berlandaskan ilmu
- Mengikut selain jalan orang-orang mukmin
Ke dua belas dosa ini merupakan sebahagian dari pelbagai jenis perkara yang diharamkan Allah. Setiap orang yang mengetahui agama wajib berhenti dari perkara tersebut, tidak ada yang harus mereka lakukan kecuali mengikut cara-cara para Rasul.