SHIPPING PERCUMA (SEMENANJUNG MALAYSIA) • HUBUNGI KAMI DI TALIAN 1700-818-938

ADAKAH DIKIRA BERSAHUR SEKIRANYA MAKAN PADA AWAL MALAM

Dalam melakukan ibadah puasa terdapat adab-adab dan perkara sunat yang digalakkan untuk melakukannya di antaranya adalah bersahur. Baginda Nabi SAW menyarankan umatnya untuk bersahur kerana terdapat pelbagai kelebiah dan keberkatan padanya. Ini seperti hadis yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik RA sabda Nabi SAW:

تَسَحَّرُوا فَإِنَّ فِي السَّحُورِ بَرَكَةً

Maksudnya: Hendaklah kamu bersahur kerana dalam makanan sahur itu ada keberkatan

Riwayat al-Bukhari (1923)

Imam al-Nawawi menyebut, para ulama bersepakat bahawa bersahur merupakan perkara yang disunatkan dan digalakkan. Ianya bukanlah perkara wajib namum pada zahirnya terdapat keberkatan ketika bersahur. Ini  kerana ia dapat menguatkan dan memberi galakan untuk berpuasa.

Imam al-Nawawi menyebut di dalam kitabnya:

وَقْتُ السَّحُورِ بَيْنَ نِصْفِ اللَّيْلِ وَطُلُوعِ الْفَجْرِ

Maksudnya: waktu Sahur di antara pertengahan malan dan terbitnya fajar.

Waktu sahur adalah di antara pertengahan malam dan terbit fajar dan ianya dikira bersahur sama ada dengan makan yang banyak atau sedikit dan ia dikira bersahur juga dengan hanya minum air. Dan disunatkan supaya melewatkan sahur.

Kadar melewatkan waktu sahur dengan waktu fajar adalah sekadar 50 bacaan ayat al-Quran. Ini sepertimana yang diceritakan tentang sifat sahur Baginda SAW hadis daripada Zaid bin Thabit RA menyebut:

تَسَحَّرْنَا مَعَ النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم ثُمَّ قَامَ إِلَى الصَّلاَةِ‏.‏ قُلْتُ كَمْ كَانَ بَيْنَ الأَذَانِ وَالسَّحُورِ قَالَ قَدْرُ خَمْسِينَ آيَةً

Maksudnya: Kami telah bersahur bersama Nabi SAW kemudian kami mendirikan solat (solat sunat). Aku telah berkata (iaitu Anas bin Malik RA bertanyakan kepada Zaid bin Thabit RA): “Berapakah kiranya (masa) di antara azan dan sahur itu?”. Jawab Zaid bin Thabit RA: “Sekadar bacaan 50 ayat (al-Quran)”.

Dalam menjelaskan persoalan makan sahur di awal waktu malam ianya tidak dinamakan sebagai bersahur dan tidak mendapat fadhilat Sunnah.

Bersahurlah walaupun dengan kadar yang sedikit seperti bersahur dengan air pada pertengahan malam atau pada akhir waktu bagi mendapat kelebihan dan fadhilat bersahur. Ini seperti mana hadis yang diriwayatkan oleh Abu Said al-Khudri RA sabda Nabi SAW:

السَّحُورُ أَكْلُهُ بَرَكَةٌ ، فَلاَ تَدَعُوهُ ، وَلَوْ أَنْ يَجْرَعَ أَحَدُكُمْ جُرْعَةً مِنْ مَاءٍ ، فَإِنَّ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ وَمَلاَئِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى الْمُتَسَحِّرِينَ

Maksudnya: Makan pada waktu sahur adalah satu keberkatan. Jangan pernah kalian meninggalkannya walaupun hanya dengan satu tegukan air. Sesungguhnya Allah memberikan rahmat dan para malaikat pula mendoakan ke atas orang yang bersahur.”

Riwayat Imam Ahmad (11102) di dalam Musnadnya

 


Leave a comment

Please note, comments must be approved before they are published