Dalam bulan Ramadhan, kita amat-amat dianjurkan untuk memperbanyakkan amalan soleh. Antara amalan soleh yang sangat digalakkan adalah memberi makan kepada golongan yang berbuka puasa. Ini berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Zaid bin Khalid al-Juhani R.A bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:
مَنْ فَطَّرَ صَائِمًا كَانَ لَهُ مِثْلُ أَجْرِهِ غَيْرَ أَنَّهُ لاَ يَنْقُصُ مِنْ أَجْرِ الصَّائِمِ شَيْئًا
Maksudnya : Sesiapa yang memberi makan kepada orang yang berpuasa dia akan mendapat pahala yang sama dengan orang yang berpuasa dalam keadaan pahala orang tersebut tidak berkurangan sedikit pun.
Riwayat Al-Tirmizi (807)
Seseorang yang menyediakan makanan dan hidangan berbuka kepada keluarganya yang berpuasa turut termasuk dalam perbuatan memberi makan kepada orang berbuka. Demikian juga semua ahli keluarga baik suami dan anak-anak yang turut membantu ke arah menyiapkan juadah berbuka turut memperoleh ganjaran seperti yang disebutkan di dalam hadis. Ganjaran ini pula mengikut kadar usaha yang dilakukan dalam erti kata, lebih besar usaha makanya lebih besarlah juga ganjaran pahala. Wallahu A’lam.
Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan