Ular adalah antara haiwan yang merbahaya dan memberi mudarat kepada manusia.Terdapat beberapa riwayat hadis yang menunjukkan bahawa Baginda SAW memerintahkan agar ular dibunuh sama ada dalam keadaan berihram atau tidak ihram. Ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan daripada Abdullah bin Mas’ud, bahawa Rasulullah SAW bersabda :
أَنَّ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَمَرَ مُحْرِمًا بِقَتْلِ حَيَّةٍ بِمِنًى
Maksudnya : “Sesungguhnya Rasulullah SAW memerintahkan orang yang sedang berihram untuk membunuh ular di Mina”
Riwayat Muslim (2235)
Berdasarkan dalil yang dibentangkan, ular termasuk dalam lima kelompok haiwan penggangu (fawasiq) yang dianjurkan untuk dibunuh. Hal ini kerana haiwan tersebut memudaratkan dan berbahaya kepada manusia.
- Hukum Memelihara Ular
Menurut Imam al-Zarkasyi, seseorang yang mukalaf diharamkan memelihara beberapa jenis binatang, antaranya anjing yang tidak dibenarkan oleh syarak dan juga binatang perosak yang lain seperti helang, tikus, burung gagak dan ular. (Lihat : al-Mantsur fi al-Qawaid, 3/80).
- Hukum Jual Beli Ular
Setelah meneliti perbahasan yang dikemukakan, haram memelihara haiwan yang dianjurkan untuk dibunuh terutamanya binatang yang berbahaya seperti ular. Bahkan, ular termasuk dalam kelompok haiwan penggangu dan perosak (fawasiq) dan tiada manfaat untuk diperdagangkan. Setiap barangan jualan yang tiada nilai manfaat adalah tidak sah transaksinya kerana tidak menepati syarat jual beli.