Seringkali jika kita berada di luar, solat kadang-kadang juga di luar. Kebanyakan dari kita samada mengikut arah panduan yang diberi atau menggunakan kompas dari telefon atau aplikasi kiblat yang telah dimuat turun. Ada kalanya kita juga terasa sangsi akan arah kiblat tersebut. Jadi bagaimana? Apa hukumnya solat yang telah kita laksanakan?
Menghadap Kaabah itu yakni menghadap dengan dada, bukan dengan kepala bagi orang yang solat berdiri dan duduk; dengan kepala dan dada bagi orang yang solat baring atas lambung; dan dengan kepala dan hujung jemari kaki bagi orang yang solat dengan terlentan. [1]
Menurut Syeikh Prof. Dr. Muhammad al-Zuhaili, bagi mereka yang jauh dari Kaabah atau mereka yang terhalang daripada melihat terus kepada Kaabah, tidak memudaratkan solat jika posisi agak ke kanan sedikit dan ke kiri sedikit daripada Kaabah, kerana itu adalah kesilapan yang tidak terlalu jauh, selagi mana tidak tersasar daripada arah Kaabah. [2]
Sesiapa yang kiblatnya tersasar tidak perlu menggantikan solat tersebut walaupun dalam Islam menghadap kiblat adalah dalam salah satu syarat sah solat. Seseorang yang solat selepas berijtihad (yakin) mengenai arah kiblat, kemudian pada waktu solat seterusnya dia yakin arah kiblatnya berubah, kedua-dua waktu adalah sah dan tidak perlu diulang.
[1] Kasyifah al-Saja, m. 197; al-Taqrirat al-Sadidah. m. 200.
[2] al-Mu`tamad fi al-Fiqh al-Syafie (1/217)