Aktiviti seperti loteri, tikam, mesin slot dan sebagainya yang melibatkan segala bentuk perjudian adalah satu perkara yang diharamkan dan berdosa besar di sisi Islam. Judi ialah satu permainan yang mengandungi pertaruhan daripada pihak bertanding di mana ia mengakibatkan kemenangan pada sebelah pihak manakala pihak yang lain mengalami kerugian.
Pengharaman judi dalam al-Quran dari surah al-Baqarah menyebut:
يَسْأَلُونَكَ عَنِ الْخَمْرِ وَالْمَيْسِرِ ۖ قُلْ فِيهِمَا إِثْمٌ كَبِيرٌ وَمَنَافِعُ لِلنَّاسِ وَإِثْمُهُمَا أَكْبَرُ مِن نَّفْعِهِمَا
Maksudnya: Mereka bertanya kepadamu (Wahai Muhammad) mengenai arak dan judi. Katakanlah: "Pada keduanya ada dosa besar dan ada pula beberapa manfaat bagi manusia tetapi dosa keduanya lebih besar daripada manfaatnya…”
Surah al-Baqarah (219)
Judi yang penuh dengan keseronokan dan juga menjanjikan kekayaan (yang belum pasti), namun dengan berjudi menjadi asbab seseorang itu menipu dan menzalimi orang lain.
Dr. Yusuf al-Qaradhawi berkata: “Setiap permainan yang bertujuan untuk berjudi maka hukumnya haram. Judi ialah permainan yang dilakukan oleh manusia, tidak dapat lari daripadanya untung atau rugi. Ianya juga dinamakan Maisir (yang didapati tanpa usaha dan jerih) yang disebut oleh al-Quran al-Karim beriringan dengan arak, Anshaab (yang disembelih untuk berhala) dan Azlaam (yang diundi dengan batang kayu untuk menentukan nasib).”
Jelas menunjukkan bahawa bahaya dan mudarat judi amat besar. Pelbagai hikmah telah disebut oleh para ulama’ tentang pengharamannya yang meliputi hikmah terhadap diri sendiri, keluarga dan masyarakat yang akhirnya boleh memberi kesan yang buruk terhadap negara.
Antara hikmah yang disebut termasuklah boleh menyebabkan seseorang itu terjebak dalam pelbagai jenayah seperti mencuri, mencederakan jiwa, menimbulkan permusuhan dan pertelingkahan, mengambil harta orang lain secara batil, menjadi asbab kepada seseorang dalam menipu dan menzalimi orang lain, menghabiskan harta sehingga sanggup menggadai isteri dan anak-anak, serta pelbagai keburukan lain sebagaimana yang telah dijelaskan.
Semoga Allah SWT menjauhkan kita daripada segala perkara yang ditegah oleh-Nya dan menjadikan kita daripada orang yang bersungguh-sungguh melakukan ketaatan kepada-Nya. Amin.