Sifat bertimbang rasa dan saling faham memahami memang tidak dinafikan sebagai sifat yang baik, dalam Islam memang dituntut sifat-sifat terpuji ini. Sebagai seorang muslim, sifat-sifat ini sememangnya dituntut untuk ditunaikan.
Daripada Aisyah RA katanya, Rasulullah SAW tidak pernah memukul sesuatu dengan tangannya sama ada isteri atau khadam melainkan dia berjuang pada jalan Allah, Baginda juga tidak pernah menuntut bela kerana sesuatu yang menyakiti dirinya terhadap yang melakukannya. Melainkan jika perbuatan itu melanggar perkara yang diharamkan oleh Allah Taala. Baginda akan menuntut bela kerana Allah Taala.
Rasulullah SAW tidak pernah menggunakan kekerasan terhadap sesiapa sahaja khasnya terhadap golongan yang lemah seperti wanita dan khadam. Baginda SAW tidak pernah menuntut bela terhadap apa-apa kejadian ke atas dirinya, melainkan segala pembelaan itu adalah kerana Allah sahaja.
Umat Islam hendaklah berhati-hati di dalam bertindak terhadap sesuatu kecuali di dalam menegakkan agama Allah.