Terdapat segelintir masyarakat yang percaya bahawa angka tertentu boleh membawa nasib malang atau memberi nasib yang baik dalam hidup. Ini menimbulkan kecaknaan kepada yang lain bagi mendapatkan kepastian apakah pandangan Islam terhadap perkara tersebut.
Allah SWT Sahaja Yang Boleh Beri Manfaat atau Mudarat
Secara dasarnya, Islam telah meletakkan dasar pegangan yang kukuh bahawa tiada apa yang boleh memberi manfaat dan mudarat melainkan Allah SWT. Firman Allah SWT:
وَإِن يَمْسَسْكَ اللَّـهُ بِضُرٍّ فَلَا كَاشِفَ لَهُ إِلَّا هُوَ ۖ وَإِن يُرِدْكَ بِخَيْرٍ فَلَا رَادَّ لِفَضْلِهِ ۚ يُصِيبُ بِهِ مَن يَشَاءُ مِنْ عِبَادِهِ ۚ وَهُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ
Maksudnya: “Dan jika Allah mengenakan engkau dengan sesuatu yang membahayakan, maka tiada sesiapa pun yang akan dapat menghapuskannya melainkan Dia; dan jika Ia menghendaki engkau beroleh sesuatu kebaikan, maka tiada sesiapapun yang akan dapat menghalangi limpah kurniaNya. Allah melimpahkan kurniaNya itu kepada sesiapa yang dikendakiNya dari hamba-hambaNya, dan Dia lah yang Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.”
(Surah Yunus: 107)
Ibnu Kathir berkata: “Sesungguhnya kebaikan, keburukan, manfaat dan bahaya hanyalah milik Allah SWT sahaja. Tidak ada sesuatu pun menyekutui-Nya dalam hal yang demikian. Maka hanya Allah sahajalah yang berhak diibadahi. Tidak ada sekutu bagi-Nya.” (Rujuk Tafsir al-Quran al-‘Azhim, 7/407)
Islam melarang umatnya daripada mengaitkan hari tertentu, atau bulan tertentu, atau kejadian tertentu, mahupun angka tertentu kepada sesuatu perkara malang. Hal ini seperti seseorang mengaitkan angka tertentu dengan nasib malang dan sial yang dilaluinya. Begitu juga seperti mengaitkan bulan-bulan tertentu dengan nasib malang lalu menghindari daripada mengadakan majlis-majlis tertentu pada bulan tersebut.
Kesemua perkara ini jelas ditegah oleh Islam kerana ia menjerumuskan kepercayaan bahawa sesuatu musibah itu adalah datang daripada makhluk sedangkan makhluk tidak sedikitpun mempunyai kuasa yang boleh mendatangkan manfaat mahupun mudarat. Ia juga boleh merosakkan sifat tawakal seseorang kepada Allah SWT. Sebaliknya Islam mengajar kita untuk sentiasa optimis dan bersangka baik dengan segala apa yang berlaku.
Rasulullah SAW melarang daripada menganggap sesuatu itu sial atau malang lalu menyebabkan seseorang membatalkan tujuannya. Mengambil contoh mudah, seseorang ingin keluar dari dari rumah menuju ke sesuatu destinasi. Sebaik sahaja dia melangkah keluar, tiba-tiba dia melihat biawak melintas di hadapannya. Lalu dia mengatakan bahawa ini sudah pasti ada sesuatu yang buruk bakal berlaku sedangkan perkara tersebut bukanlah petanda yang jelas. Akhirnya dia membatalkan tujuannya atau menangguhkan ke hari yang lain. Inilah yang ditegah oleh Rasulullah SAW.
Sebaliknya Rasulullah SAW menyuruh agar bersangka baik dengan menyebut yang baik-baik sahaja sekiranya berlaku sesuatu yang tidak pasti dan tidak jelas. Daripada Anas bin Malik R.A, Rasulullah SAW bersabda:
لَا عَدْوَى وَلَا طِيَرَةَ وَيُعْجِبُنِي الْفَأْلُ ، قَالُوا وَمَا الْفَأْلُ؟ قَالَ: كَلِمَةٌ طَيِّبَةٌ.
Maksudnya: "Tidak ada ‘adwa dan tidak ada tiyarah. Dan yang menyenangkanku adalah al-fa'lu. Para sahabat bertanya: Apakah al-fa'lu itu? Baginda menjawab: Iaitu kata-kata yang baik.”
Riwayat al-Bukhari (5776) dan Muslim (5934)
Kita hendaklah sentiasa bertawakal dan bersangka baik kepada Allah SWT apabila berlaku sesuatu musibah, bukan menyalahkan angka tertentu atau hari tertentu dengan menganggapnya sebagai angka atau hari sial. Berpegang teguh kepada kekuasaan Allah serta serahkanlah urusan sepenuhnya kepada Allah SWT. Ingatlah firman-Nya:
وَمَن يَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّـهِ فَهُوَ حَسْبُهُ
Maksudnya: “Dan (Ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya).”
(Surah al-Talaq: 3)
Antara hikmah larangan ini juga adalah bagi mengelakkan seseorang itu bersikap pesimis dalam hidupnya. Sebaliknya kita dikehendaki agar sentiasa bersikap optimis dalam melalui hari-hari dalam kehidupan walau apa musibah yang melanda sekalipun.