SHIPPING PERCUMA (SEMENANJUNG MALAYSIA) • HUBUNGI KAMI DI TALIAN 1700-818-938

HUKUM MELAMAR WANITA DI DEPAN KHALAYAK RAMAI

Melamar wanita secara terbuka di depan khalayak ramai adalah lebih berkait dengan adat dan budaya masyarakat setempat.

Namun, disyorkan untuk menjauhi perbuatan ini kerana ia bukan satu budaya Islami, bahkan bukan juga budaya masyarakat Melayu. Ia juga bukanlah suatu perkara yang terpuji kerana Islam sangat mengangkat tinggi penjagaan kepada maruah individu.

Lamaran melalui wali adalah perkara yang diajar oleh Islam serta masyarakat Melayu Muslim di Malaysia. Ini bagi menjaga maruah kedua-dua individu serta memberi ruang masa yang cukup kepada wanita tersebut untuk mempertimbangkan pinangan tersebut. Hal ini kerana, kita tidak boleh mengetahui keadaan emosi dan minda wanita tersebut pada waktu berkenaan. Kita seolah-olah meletakkan keputusan besar dalam hidup seseorang hanya pada waktu yang singkat. Sedangkan, dalam Islam, setiap individu miliki hak untuk membuat keputusan secara peribadi.

 propose

Melamar wanita secara terbuka di depan khalayak ramai berkait dengan budaya Barat yang tidak diiktiraf dalam Islam. Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ تَشَبَّهَ بِقَوْمٍ فَهُوَ مِنْهُمْ

“Barangsiapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka dia adalah daripada kalangan mereka”

Riwayat Abi Daud (4031)

Penyerupaan dalam hal ini adalah tidak diiktiraf kerana Islam sangat mengangkat tinggi penjagaan kepada maruah individu. Sebaliknya, perbuatan sebegini mendedahkan maruah individu daripada tercalar. Bagi pembacaan lanjut mengenai huraian terhadap hadis ini bolehlah merujuk kepada IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-302: SYARAH HADITH TASYABBUH.

Selain itu, lamaran atau pinangan di khalayak ramai secara terbuka akan memberi tekanan kepada kedua-dua pihak; lelaki dan perempuan dalam menerima dan memberi jawapan dalam kadar segera. Sedangkan, dalam Islam, kedua-dua pihak diberi pilihan untuk bersetuju atau tidak untuk mengahwini satu sama lain. Wanita juga diberi hak memilih pasangan. 

Maka dengan ini janganlah kita mudah terpengaruh dan terikut-ikut dengan sesuatu trend yang viral. Sesungguhnya Islam itu agama yang sudah lengkap sebagai panduan dalam kehidupan.  

 

Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

 

 


Leave a comment

Please note, comments must be approved before they are published