SHIPPING PERCUMA (SEMENANJUNG MALAYSIA) • HUBUNGI KAMI DI TALIAN 1700-818-938

HUKUM MEMAKAI WANGIAN KETIKA BERPUASA

Para ulama’ juga menyatakan di antara perkara yang boleh membatalkan puasa ialah jimak, muntah dengan sengaja dan lain-lain.

Firman Allah S.W.T:

وَكُلُوا وَاشْرَبُوا حَتَّىٰ يَتَبَيَّنَ لَكُمُ الْخَيْطُ الْأَبْيَضُ مِنَ الْخَيْطِ الْأَسْوَدِ مِنَ الْفَجْرِ ۖ ثُمَّ أَتِمُّوا الصِّيَامَ إِلَى اللَّيْلِ

Maksudnya: “Dan makanlah serta minumlah sehingga nyata kepada kamu benang putih (cahaya siang) daripada benang hitam (kegelapan malam) iaitu waktu fajar kemudian sempurnakanlah puasa itu sehingga waktu malam (maghrib)”.

(Surah al-Baqarah: 187)

Ayat di atas menunjukkan larangan dan tegahan untuk makan dan minum setelah terbit fajar bagi orang yang berpuasa.

Adapun berkenaan dengan memakai wangian ketika puasa, maka para ulama’ tidak menyebutkan tentang hal ini secara jelas mengenai larangan atau keharusannya.

Di sisi mazhab Syafie hukum memakai atau menghidu bau minyak wangi adalah tidak membatalkan puasa kerana tidak ada nas sahih yang menunjukkan hal tersebut (batalnya puasa) dan ia bukanlah satu bentuk perbuatan makan dan minum.

Menghidu bau minyak wangi adalah tidak membatalkan puasa sekalipun dengan sengaja kerana ia bukannya dalam bentuk jirim yang boleh dilihat dan tidak ada sesuatu yang masuk ke badannya melalui rongga hidung melainkan angin (bau minyak wangi) tersebut.

Hukum memakai minyak wangi saat berpuasa adalah tidak membatalkan puasa namun hukumnya makruh. Para ulama’ menjelaskan hikmah kemakruhan tersebut kerana ketika puasa kita wajib menahan diri daripada syahwat, sedangkan minyak wangi adalah termasuk hal yang boleh membangkitkan syahwat contohnya sekiranya suami yang sedang puasa memakai minyak wangi maka ia boleh membangkitkan syahwat dan begitulah sebaliknya. (Rujuk: Ittihaf al-Anam bi Ahkam al-Siyam, hlm. 111-112).

Adapun hukum memakai sesuatu yang boleh menghilangkan bau badan seperti sabun atau deodorant bagi orang yang berpuasa adalah harus kerana secara kebiasaannya ia adalah alat untuk membersihkan badan serta menghilangkan bau busuk dan bukannya untuk tujuan berwangi-wangi itu sendiri.


Leave a comment

Please note, comments must be approved before they are published