Bulan Ramadhan adalah bulan yang digalakkan untuk memperbanyakan beribadah seperti membaca al-Quran dan lain-lain lagi. Begitu juga, bulan Ramadhan adalah bulan yang diberi ganjaran pahala yang besar serta berlipat kali ganda. Ini sepertimana hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, sabda Nabi SAW:
كُلُّ عَمَلِ ابْنِ آدَمَ يُضَاعَفُ الْحَسَنَةُ عَشْرُ أَمْثَالِهَا إِلَى سَبْعِمِائَةِ ضِعْفٍ
Maksudnya: Setiap amalan anak Adam akan digandakan, satu kebaikan digandakan dengan sepuluh kali sehingga tujuh ratus kali ganda
Riwayat Muslim (1151)
Berkenaan dengan tidur sepanjang hari, hal ini tidak membatalkan puasa oleh kerana tidur sepanjang hari bukanlah termasuk dalam perkara yang membatalkan puasa. Imam al-Nawawi menyebut:
وَلَوْ نَامَ جَمِيعَ النَّهَارِ، صَحَّ صَوْمُهُ عَلَى الصَّحِيحِ الْمَعْرُوفِ
Maksudnya: Dan jika tidur seseorang itu sepanjang siang hari, maka sah puasanya menurut pendapat yang sahih lagi diketahui
(Lihat Raudah al-Talibin, 2/366)
Perbuatan tidur sepanjang hari di siang Ramadhan adalah perkara yang dimakruhkan serta sah puasanya pada hari tersebut. Namun sebaiknya pada bulan Ramadhan adalah bulan untuk melipat gandakan amalan dan beribadah kepada Allah SWT.
Dan sekiranya seseorang itu tidur dan berniat di dalam hatinya bahawa dengan tidurnya itu dapat merehatkan tubuh badannya supaya ia dapat melakukan ibadah dengan lebih kuat, maka tidurnya itu boleh menjadi ibadah bergantung dengan niatnya. Ini secara umumnya tidur orang yang berpuasa itu adalah ibadah kerana tidur dalam keadaan dia sedang berpuasa.