Status antara ipar-duai adalah haram muaqqat iaitu haram untuk dinikahi dalam tempoh waktu tertentu. Implikasinya, mereka perlulah memelihara batasan aurat dan adab pergaulan ketika berinteraksi antara satu sama lain bukan seperti mahram yang lain. Mereka turut tidak dibenarkan berkhalwat (berdua-duaan) apatah tidak lagi bersentuhan kulit. Ini berdasarkan sabda Nabi SAW :
«إِيَّاكُمْ وَالدُّخُولَ عَلَى النِّسَاءِ» فَقَالَ رَجُلٌ مِنَ الأَنْصَارِ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، أَفَرَأَيْتَ الحَمْوَ؟ قَالَ: «الحَمْوُ المَوْتُ»
Maksudnya : Berhati-hatilah kamu ketika masuk menemui wanita, lalu seorang lelaki Ansar berkata : Wahai Rasulullah, bagaimana pendapat engkau tentang ipar? Baginda bersabda : Ipar adalah maut
Riwayat al-Bukhari (5232) Riwayat al-Muslim ( 2172)
Syariat Islam melarang perbuatan khalwat antara lelaki dan perempuan yang tiada hubungan mahram melainkan si wanita ditemani oleh mahramnya, seperti abang, bapa atau datuk. Perkara ini ditekankan dalam sepotong hadis yang diriwayatkan oleh Ibn ‘Abbas, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
لَا يَخْلُوَنَّ رَجُلٌ بِامْرَأَةٍ إِلَّا وَمَعَهَا ذُو مَحْرَمٍ
Maksudnya: “Seorang lelaki tidak boleh berdua-duaan dengan seorang perempuan melainkan mahram perempuan itu ada bersamanya.”
Riwayat Muslim (1341)
Hukum ipar-duai tinggal serumah yang ketiadaan mahramadalah dilarangoleh syarak dan perlu dijauhi bagi menutup pintu fitnah (sadd al-dzari’ah). Larangan tersebut sebagai langkah berjaga-jaga daripada timbulnya sebarang kerosakan (mafsadah) yang besar pada masa akan datang. Adapun, tidak mengapa ipar-duai tumpang tidur bermalam yang berasingan bilik selagi adanya mahram disisi ipar duai dan aman daripada fitnah. Mahram yang wajib ada ialah mahram dari pihak perempuan bukan lelaki.
Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan