Mata merupakan cermin bagi hati, maka membiarkan pandangan akan mendatangkan berbagai kehancuran. Menundukkan pandangan pula akan mendatangkan ketenangan dan ketenteraman. Allah SWT berfirman:
Katakanlah kepada orang lelaki yang beriman, "Hendaklah mereka menahan pandangannya, dan memelihara kemaluannya; yang demikian itu adalah lebih suci bagi mereka ..." (An-Nur: 30)
Jika ditanya oleh seseorang: "Apabila perasaan cinta muncul pada pandangan pertama, lalu mengapa orang yang memandang harus dicela?"
Jawapannya adalah: "Apabila tatapan itu hanya sekilas, nescaya tidak akan menimbulkan rasa cinta. Pandangan yang dapat menumbuhkan rasa cinta adalah pandangan yang terus-menerus terhadap objek yang dipandang, dengan ukuran yang kiranya dapat menumbuhkan perasaan itu. Perbuatan ini dilarang. Seandainya perasaan cinta timbul kerana pandangan pertama yang hanya sekilas tersebut, maka tidak akan mudah untuk mengatasinya."
Orang tersebut bertanya lagi: "Apakah ubat mabuk asmara apabila perasaan tersebut muncul pada pandangan pertama?"
Jawapannya adalah: "Ubatnya adalah memalingkan pandangan mata dari objek yang dipandang. Satu pandangan mata sama seperti biji-bijian yang ditebarkan di atas tanah; apabila biji-bijian itu tidak disiram dan diperhatikan, maka ia tidak tumbuh. Namun, apabila disiram, nescaya ia akan tumbuh segar. Demikian juga dengan tatapan mata."
Oleh itu, sesiapa sahaja yang ingin menyelamatkan hati hendaklah menundukkan pandangan matanya terhadap perkara-perkara haram, yang sangat dipengaruhi nafsunya. Ketika menundukkan pandangan itu, hendaklah dia mengharapkan pahala dari Allah SWT dan meniatkannya agar mendapat tempat terhormat di sisiNya. Perkara ini termasuk dalam menahan diri dari tunduk terhadap hawa nafsu.