Orang-orang yang beriman termasuk dalam golongan orang-orang yang bijak menghadapi kehidupan. Ketika kebanyakan orang kaya resah dalam kekayaan, orang miskin pula tersiksa dalam kemiskinan, orang-orang yang beriman pula sebaliknya.
Bagi orang-orang yang beriman, segala urusan kehidupan mereka sangat mudah. Mereka tidak pernah takut apabila dikurangi haknya kerana rasa syukur yang tinggi dengan rezeki yang berlimpah-ruah. Allah SWT tempat meletakkan sandaran dan kepercayaan sepenuhnya. Hati dan bahasa fizikal mereka stabil dan tenang. Mereka tahu setiap inci kehidupan yang dilalui telah disusun begitu cantik oleh Allah SWT.
Kezaliman yang dilakukan orang lain kepadanya tidak langsung mempengaruhi emosinya kerana bimbang mencalarkan ketakwaannya. Telinga mereka tidak pernah mengambil kisah akan cacian manusia, mulut mereka tidak terhasut untuk melakukan kebodohan dan penipuan.
Rasullulah SAW bersabda, "Sungguh menakjubkan urusan orang yang beriman, semua urusannya baik. Ia tidak dapat dirasai oleh sesiapa melainkan orang-orang yang beriman. Jika ia memperolehi kebahagiaan, ia bersyukur. Bersyukur itu baik baginya dan jika ia ditimpa musibah ia bersabar. Dan bersabar itu baik baginya". H.R Muslim