Menjaga kebajikan anjing-anjing yang jinak dan berbuat baik kepadanya seperti memberi makan dan minum, merawatnya jika ia tercedera dan sebagainya adalah satu perbuatan baik yang digalakkan di dalam Islam serta mendapat ganjaran di sisi Allah SWT. Namun begitu, tidak diharuskan bagi seorang muslim menjaganya dengan menjadikannya sebagai haiwan peliharaan, jika tiada sebarang keperluan seperti untuk menjaga rumah, menjaga tanaman, berburu dan sebagainya.
Islam mengajarkan umatnya untuk berbuat baik kepada semua makhluk Allah SWT termasuklah juga kepada haiwan. Ini sepertimana dalam firman Allah SWT dalam al-Quran:
وَمَا مِن دَابَّةٍ فِي الْأَرْضِ وَلَا طَائِرٍ يَطِيرُ بِجَنَاحَيْهِ إِلَّا أُمَمٌ أَمْثَالُكُم ۚ مَّا فَرَّطْنَا فِي الْكِتَابِ مِن شَيْءٍ ۚ ثُمَّ إِلَىٰ رَبِّهِمْ يُحْشَرُونَ
Maksudnya: Dan tidak seekor pun binatang yang melata di bumi, dan tidak seekor pun burung yang terbang dengan kedua sayapnya, melainkan mereka umat-umat seperti kamu. Tiada Kami tinggalkan sesuatu pun di dalam kitab Al-Quran ini; kemudian mereka semuanya akan dihimpunkan kepada Tuhan mereka (untuk dihisab dan menerima balasan).
(Surah al-An’am: 38)
Berkaitan seorang lelaki yang memberi minum kepada anjing yang kehausan dengan mengambil air dari dalam perigi menggunakan kasutnya. Lalu anjing itu bersyukur dan lelaki itu diberikan keampunan oleh Allah SWT. Maka para sahabat bertanya:
يَا رَسُولَ اللَّهِ وَإِنَّ لَنَا فِي الْبَهَائِمِ أَجْرًا
Maksudnya: Wahai Rasulullah SAW, adakah bagi kami atas perbuatan terhadap binatang juga ada pahala?
Rasulullah SAW bersabda:
نَعَمْ فِي كُلِّ ذَاتِ كَبِدٍ رَطْبَةٍ أَجْرٌ
Maksudnya: Benar, bagi setiap hati yang basah (bersikap rahmah) ada pahala.
Oleh itu, berbuat baik dan menjaga kebajikan kepada semua haiwan termasuklah juga anjing, dikira sebagai berbuat baik kepada binatang dan mendapat pahala di sisi Allah SWT.
Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan