Meminta bantuan ketika kesusahan tidak dilarang di dalam Islam. Bahkan digalakkan untuk mereka yang mampu dari segi harta mencari orang-orang yang susah dan fakir miskin. Kebanyakan daripada kita semua beranggapan ramai yang mampu bertahan ketika dalam kesusahan, tetapi sebaliknya mereka yang dalam kesusahan ini memilih untuk memendam keresahan dan berdiam diri. Hal ini sangat bertepatan dengan firman Allah SWT:
لِلْفُقَرَاءِ الَّذِينَ أُحْصِرُوا فِي سَبِيلِ اللَّهِ لَا يَسْتَطِيعُونَ ضَرْبًا فِي الْأَرْضِ يَحْسَبُهُمُ الْجَاهِلُ أَغْنِيَاءَ مِنَ التَّعَفُّفِ تَعْرِفُهُم بِسِيمَاهُمْ لَا يَسْأَلُونَ النَّاسَ إِلْحَافًا ۗ وَمَا تُنفِقُوا مِنْ خَيْرٍ فَإِنَّ اللَّهَ بِهِ عَلِيمٌ
Maksudnya: “Pemberian sedekah itu ialah bagi orang-orang fakir miskin yang telah menentukan dirinya (dengan menjalankan khidmat atau berjuang) pada jalan Allah (membela Islam), yang tidak berupaya mengembara di muka bumi (untuk berniaga dan sebagainya); mereka itu disangka: orang kaya - oleh orang yang tidak mengetahui halnya, kerana mereka menahan diri daripada meminta-minta. Engkau kenal mereka dengan (melihat) sifat-sifat dan keadaan masing-masing, mereka tidak meminta kepada orang ramai dengan mendesak-desak. Dan (ketahuilah), apa jua yang kamu belanjakan dari harta yang halal maka sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahuinya”
Surah al-Baqarah (273)
Sedekah itu hendaklah diberi kepada orang-orang yang memerlukan, antaranya orang yang berjuang pada jalan Allah, orang yang tidak mempunyai keupayaan untuk mencari rezeki, orang yang menahan diri daripada mempunyai makanan dan pakaian kerana tidak mampu, orang yang jelas dalam kesusahan jika dilihat pada diri dan kehidupannya, serta orang-orang yang dalam kesusahan tetapi tidak meminta-minta dan meminta bukan dalam kadar yang berlebihan.
Perbuatan meminta-minta adalah perbuatan yang buruk. Tetapi perlu difahami bahawa perbuatan meminta-minta yang dilarang tersebut adalah bagi orang yang mempunyai kemampuan serta cukup keperluannya yang kemudian masih lagi meminta-minta daripada orang lain.
Perbuatan meminta-minta adalah dilarang sekiranya orang meminta tersebut mempunyai kemampuan untuk bekerja mencari rezeki dan keperluannya mencukupi. Namun begitu, dalam keadaan memaksa dan tersepit, meminta bantuan adalah perkara yang wajar dan tidak termasuk dalam larangan meminta-minta yang dinyatakan.
Islam menggalakkan umatnya untuk mengambil berat terhadap masyarakat sekeliling terutamanya jiran tetangga. Ini kerana asas keimanan seorang mukmin adalah sifat tolong-menolong sesama jiran yang dalam kesusahan. Sabda Nabi Muhammad SAW:
لَيْسَ الـمُؤْمِنُ الذِي يَشْبَعُ، وَجَارُهُ جَائِعٌ إِلَى جَنْبِهِ
Maksudnya: “Tidaklah seorang itu dianggap orang beriman yang mana dia dalam kekenyangan dan dalam masa yang sama jiran sebelahnya kelaparan”
Riwayat al-Baihaqi (19668)
Hadis di atas menunjukkan betapa pentingnya untuk seorang mukmin mengambil cakna akan jiran tetangganya serta tidak mementingkan diri sendiri. Oleh kerana itu, dalam keadaan saudara seislamnya dilanda kesempitan dan kesusahan, orang yang beriman perlu menghulurkan bantuan bagi mengurangkan beban saudara seagama mereka.
Number: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan