Bulan Ramadhan bulan penuh keberkatan yang datang hanya sekali dalam setahun. Maka sebagai Muslim sangatlah digalakkan untuk merebut pahala yang berlipat kali ganda pada bulan ini.
Sebagaimana sabda Rasulullah SAW:
“Barang siapa mencintai sunnahku, bererti dia mencintai aku dan orang-orang yang mencintaiku kelak akan masuk syurga bersama-sama aku,”
1. BERSAHUR
Bukan sahaja dapat membantu kita mengisi tenaga untuk persediaan berpuasa, tetapi ia juga adalah suatu amalan yang amat dituntut dalam Islam. Sabda Rasulullah SAW:
“Bersahurlah kalian, karena pada sahur itu ada keberkatan.” (HR. Bukhari)
Selain bangun sahur untuk makan, elok juga mengawalkannya sedikit supaya dapat melakukan solat sunat tahajud dan membaca Al-Quran.
2. BANYAKKAN DOA
Doa orang yang berpuasa adalah mustajab di sisi Allah kerana mereka mempunyai kedudukan yang tinggi dan istimewa apabila mereka berpuasa kerana Allah (sumber oleh Mufti Wilayah Persekutuan).
Daripada Abdullah bin ‘Amr RA berkata bahawa Nabi SAW bersabda:
“Sesungguhnya bagi orang yang berpuasa itu ketika dia berbuka doa yang tidak akan ditolak”. (HR Ibn Majah)
Maka rebutlah kesempatan sepanjang bulan Ramadhan ini untuk mengecapi tawaran yang amat berharga daripada Allah. Doa yang amat dianjurkan, terutamanya pada 10 malam terakhir Ramadhan.
اللَّهُمَّ إِنَّكَ عَفُوٌ تُحِبُّ الْعَفْوَ فَاعْفُ عَنِّي
Maksudnya: “Ya Allah sesungguhnya Engkau Maha Pengampun, Engkau Mengasihi untuk Mengampun, Maka ampunilah diriku.”
3. BERSEDEKAH/MEMBERI MAKAN ORANG BERBUKA
Insan yang paling pemurah adalah Rasulullah SAW, malah Baginda adalah lebih pemurah sewaktu bulan Ramadhan. Dalam salah satu hadis ada menyebut tentang keutamaan memberi makan untuk orang berbuka.
“Barang siapa yang memberikan makanan berbuka kepada orang yang berpuasa, maka baginya pahala seperti orang yang berpuasa tersebut, tanpa mengurangi sedikit pun pahala orang yang berpuasa itu” (HR Nasa’i dan Tirmidzi)
4. SEGERA BERBUKA
Antara sunnah yang paling mudah, niat untuk menyegerakan berbuka puasa.
Seperti sabda Rasulullah SAW melalui sebuah hadis:
“Manusia akan sentiasa berada dalam kebaikan selama mereka menyegerakan berbuka.” (HR Bukhari dan Muslim)
Menurut riwayat, Baginda berbuka puasa dengan beberapa butir kurma muda (ruthb atau kurma basah) sebelum melakukan solat (Maghrib). Jika tidak menemukan beberapa kurma muda, maka Baginda berbuka dengan beberapa butir kurma matang (tamr atau kurma kering). Jika tidak menemukannya juga, maka Baginda berbuka dengan beberapa teguk air.
5. SENTIASA MELAKUKAN KEBAIKAN
Puasa bukan sekadar menahan lapar, tetapi juga mengawal nafsu daripada melakukan perkara keburukan.
“Barang siapa yang tidak meninggalkan ucapan dusta dan mengamalkannya maka Allah sudah tidak lagi memerlukan dia meninggalkan makanan dan minumannya.” (HR Bukhari)
Jadikan bulan puasa ini sebagai permulaan agar kita lebih berhati-hati dalam menekan butang share. Pilihlah konten yang baik dan bermanfaat untuk disebarkan kepada rakan-rakan anda kerana secara tidak langsung kita juga dapat saling mengingatkan antara satu sama lain.
6. MENAHAN MARAH
Seorang yang berpuasa haruslah bersabar dengan menjaga emosi dan menahan diri dari mengeluarkan kata-kata yang tidak baik.
“Puasa adalah perisai. Maka janganlah dia berkata-kata kotor dan berbuat bodoh. Apabila ada orang lain yang memerangi atau mencacinya, hendaklah dia katakan, ‘Aku sedang puasa’ (dua kali).” (HR Bukhari)
7. MENGHIDUPKAN 2/3 MALAM
Bulan Ramadhan inilah Allah menyembunyikan malam Lailatul Qadr, di mana segala amalan akan dilipatgandakan pahalanya sebanyak 1000 bulan.
Daripada ‘Aisyah RA, beliau menyatakan bahawa apabila masuk sepuluh akhir Ramadhan, Baginda akan mengetatkan kain sarungnya, menghidupkan malamnya dan mengejutkan ahli keluarganya. (Sahih al-Bukhari).
Jika sebelum ini kita sukar untuk bangun malam dan beriktikaf, inilah waktu yang paling tepat untuk memulakannya walaupun dengan sekecil-kecil amalan.